Kisah sebuah jam Roscani dan beg Coach.

tudung-si-comel
pentagonmath

Kisah sebuah jam Roscani dan beg Coach.
Dulu-dulu, kewangan aku sangat tenat. Maklumlah gaji cikgu diploma hidup di kotaraya.

Gaji bersih setiap bulan selepas bayar semua bil-bil, sewa rumah, bagi duit belanja dapur kat isteri, duit pampers anak, bakinya cuma sekitar RM500 sahaja.

Itulah yang perlu dijimatkan untuk bertahan sebulan. Maka setiap kali tiba hari istimewa, hari lahir isteri, hari anniversary, tiada hadiah istimewa dapat aku beri. Beli kek sahaja. Itu pun gigil rasa tangan nak bayar kek harga RM50.

Suatu hari aku putuskan, kena buat kerja sampingan untuk ‘bernafas’ dengan lebih lega. Maka aku mula jual air tin pada tahun 2013.
Alhamdulillah. Walaupun untung sedikit, tapi sekurangnya ada income tambahan.

Suatu hari, tiba hari lahir isteri aku. Kali ni aku nak buat kejutan belikan dia hadiah walau dia sekali pun tidak pernah meminta-minta. Dia tahu kewangan suami dia macamana.

Aku menuju ke sebuah kedai jam di Batu Caves. Masuk dengan pouch bag berharga RM10 yang aku beli kat pasar malam. Dalam tu penuh not RM1. Maklumlah, jual air tin. 😅

Terpandang satu jam Roscani. Harganya RM350 lepas diskaun. Allah, mahalnya. Terus rasa nak cari hat murah sikit.

Masa memilih jam yang harga bawah RM200, hati rasa serba salah.

‘Apa salahnya belikan sahaja yang tu’ getus hati sendirian.

Aku pejam mata sat, tarik nafas panjang-panjang, terus bagitahu uncle tu,
“Uncle, saya nak yang ni”.

Senyum uncle tu sambil cakap jam ni bagus, cantik, elok dan sebagainya. Ayat biasa penjual memujuk pembeli. Macam biasalah.

“Cash atau kad?” tanya uncle tu.
“Cash,” balasku ringkas sambil membuka pouch beg aku.

Segenggam duit RM1 dikeluarkan. Aku kira depan uncle tu. Pelanggan lain dan staff dia jeling dari jauh sahaja. Entah apa bermain diminda mereka, aku malas ambil tahu. Lantakkan mereka.

Janji aku ada duit dan mampu bayar.
Sebaik selesai membuat bayaran, aku terus pulang. Hulur kat isteri hadiah itu tanpa balut apa-apa, tanpa ada kad pun. Tak romantik betul cikgu Maths ni kan? Wakaka.

Terkejut isteri melihat hadiah tersebut. Punya la dia gembira pertama kali dapat hadiah hari lahir setelah 4 tahun kami kahwin.

Aku tersenyum puas. Walau dalam kepala dok berkira-kira macamana nak rolling modal beli stok air pula lepas ni. 😅

Itulah hadiah pertama aku beri. Beli dengan duit RM1 sahaja. Hasil keuntungan jualan air campur modal pusingan sikit. Haha.

Tapi puas. Sungguh. Rasa sungguh puas bila kita usaha sungguh-sungguh, berpenat, berlelah, berjimat, menahan diri untuk beli apa-apa kat diri sendiri, kemudian dapat hadiahkan sesuatu yang elok kepada orang yang kita sayang.

Sekali tu jelah beli hadiah mahal. Lepas tu kembali beli kek sahaja macam biasa. Wakaka.

roscani

Gambar jam dari Google

Aduh. Baru cerita pasal jam dah berjela panjang ni. Lantakkan. Aku nak teruskan juga. Siapa nak baca perabih, silakan. Siapa nak skip aku tak halang.

Hari berganti, tahun berubah. Anak makin bertambah. Jualan air dah tak boleh jalan dah. Ekonomi kembali tenat.

Maka aku buat kerja macam-macam. Jual kasut bundle, jual simkad SOX dan UOX, broadband Internet, jual kambing bakar, jual buku dan sebagainya.

Dapat la tampung sedikit sebanyak kehidupan yang kian mencabar.

Suatu hari, aku terdengar puan isteri puji beg Coach kawan dia. Dia memang peminat handbag ni. Cuma biasa kami beli kat pasaraya yang tengah less harga sekitar RM100-RM200 sahaja. Tu pun dua tiga tahun sekali je kot.

Dari situ, aku tanam niat nak beli handbag Coach kat beliau. Cuma soalnya nak beli macamana? Duit setiap bulan pun cukup-cukup makan saja.
Tapi niat dan azam itu tetap ada. Maka aku mula main kutu. Last aku main kutu zaman sekolah menengah, masa form 3, 50 sen je sehari.

Kali ni aku main kutu sekali lagi semata-mata nak beli beg Coach untuk dihadiahkan kepada isteri tercinta. Main RM100 sahaja sebulan. Takat tu ja mampu. Aku pilih tarikh cabutan sebelum hari lahir puan isteri.

Akhirnya giliran aku terima duit kutu sampai. Dapat segenggam RM1200, rasa kaya sekejap. Jalan pun mendada. Masuk pakai selipar Jepun je gais. Tapi apa risau, duit dalam poket ada lebih seribu kot. Dengan penuh perasaan macam dato-dato, aku masuk butik Coach dan pilih beg dengan berlagak.

Sebaik aku tengok harga, omak ai. Ribu riban handbag jenama ni rupanya. Tiba-tiba rasa miskin semula. 😭 Keluar butik dengan perasaan hampa, aku buka Fb dan search beg Coach prelove yang kondisi cun melecun.

coach

Jumpa la beg Coach macam dalam gambar ni. Orang Sarawak yang jual. Kondisi 9/10. Last price dia bagi RM700. Terus aku setuju.
Aku cari pula purse yang sama macam tu. Alhamdulillah, jumpa. Yang ni baru, bukan prelove. Harga RM250.

Terus order juga. Dua-dua beli online dan akhirnya selamat sampai. Terus bagi kat isteri. Dan sekali lagi, tanpa balut, tanpa kad bagai. Bagi gitu ja. Tak romantik kan? Pedulikan romantik tu, asal aku berjaya bagi hadiah. Haha. Seronok bukan kepalang puan isteri. First time dapat hadiah beg Coach. Walau prelove, dia punya seronok tu macam dapat istana.

Bahagia sungguh aku melihat senyuman dan kegembiraan orang yang aku sayangi ini.
Dan hari ini, hari Ulangtahun Perkahwinan kami yang ke 12. Awal-awal lagi aku dan beli hadiah, simpan kat peti besi kedai.

Malam tadi bawa pulang, senyap-senyap letak dalam laci. Malam ni cubaan jadi romantik sikit. Walau tak balut, aku koyak buku tulisan anak dan tulis ucapan ringkas guna pensel kaler anak.

Siap lukis love lagi. Okey la tu walau cuma koyak buku anak dan tulis pakai pensel kaler, at least ada improvement kan. Hihi.

Tepat jam 12 malam tadi, puan isteri terlebih dahulu wasap wish anniversary. Aku kat ruang tamu ja pun. Dia kat dalam bilik tidurkan anak.

Aku ucap terima kasih dan pura-pura minta tolong dia ambil barang aku dalam laci kat dalam bilik.
Sebaik buka laci, menjerit kegembiraan insan yang aku sayang ni bila lihat ada hadiah anniversary untuk dia. Aku hanya senyum sahaja.

Kegembiraan dia, kebahagiaan aku. Simple.
Gitu la serba sedikit kisah sebuah jam Roscani dan sebuah handbag Coach. Jam tu dah lama mati, handbag guna sampai hari ini. Antara handbag kegemaran dia bila ke mana-mana. Puas hati sungguh beli handbag ni. Berbaloi dengan harga tu.
Okeh. Aku tulis panjang-panjang ni just nak cerita, hargai pasangan kita.

Menghargai itu tidak semestinya dengan barang mahal dan berharga. Tidak semestinya melalui hadiah, wang ringgit dan kebendaan sahaja.

Namun sepaling kurang, kita tunjukkan effort untuk menggembirakan insan yang kita ambil amanah untuk menjaga dia dari jagaan ayahnya. Isteri ni amanah paling besar buat seorang lelaki bergelar suami.

Seorang insan yang kita mahu hidup bersama sehingga akhir hayat kita. Bahkan hingga ke syurga. Tidak timbul soal kaya atau miskin dalam kisah kali ini. Ia bukan tentang mampu atau tidak.
Ia tentang usaha, tentang pengorbanan, tentang matlamat untuk menggembirakan si dia. Bila kita nekad, apa jua matlamat itu mampu kita capai.

Jika hari ini kita tidak mampu nak hadiahkan sesuatu berbentuk kebendaan, bagilah layanan dan perhatian yang selayaknya dia terima. Sebaik mana kawan-kawan kita, serapat hubungan kita dengan sanak saudara, saat sukar, saat sakit demam, mereka hanya ada sekejap dan sekadar bertanya khabar berita.

Yang sentiasa ada disisi, yang melayan segala karenah dan perangai buruk kita, yang menjaga sepenuh hati saat kita sakit dan terluka, yang terkesan akibat ketidakmampuan ekonomi kita, yang menjaga anak-anak kita sebaiknya, yang mempersiapkan segala keperluan kita, adalah dia. Isteri.

Satu perkataan terakhir dan kesimpulan paling penting dalam kisah yang panjang ini ialah;
Hargai.

Nota : Gambar jam itu cari kat Google sahaja. Bukan gambar sebenar. Gambar handbag dan purse Coach saja yang real.

#MFS
– Bukan suami sempurna –

ebook-cikgu-hakim

MEMO BERKENAAN KOMEN

Laman blog ini dikunjungi bukan sahaja oleh ibu bapa, guru dan orang awam, malah juga oleh para murid dan pelajar. Komen yang kurang sopan, mengandungi kritikan, politik atau tidak sesuai tidak akan diluluskan. Sila gunakan nama dan alamat e-mel sebenar anda (nama samaran yang sopan masih boleh diterima.

This blog is visited not only by parents, teachers, and the general public but also by students and learners. Comments that are impolite, contain criticism, or politics, or are unsuitable will not be approved. Please use your real name and email address (polite pseudonyms are still acceptable).

0 Comments

Submit a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

shopee
17 Perkara Ibu bapa Harus Tahu Tentang Durioo+

17 Perkara Ibu bapa Harus Tahu Tentang Durioo+

1. Anak-anak suka sangat dengan gadget dan tonton YouTube. 2. Risau juga weh memandangkan kat YouTube banyak content berunsur lucah, ganas dan extreme. Tapi tu lah, anak-anak suka layan kartun kat YouTube. 3. Walau mereka layan kartun Islamic dan tak ada pengaruh...

Sedikit sejarah tentang PBS

Sedikit sejarah tentang PBS

Sedikit sejarah tentang PBS (Pentaksiran Berasaskan Sekolah) : Dikatakan Menteri Pendidikan masa tu Tan Sri Muhyiddin Yassin memperkenalkan PBS sebab tiru Australia. Australia laksanakan sistem School Based Assessment (SBA) Antara teknik penilaian maju la kiranya PBS...

Semalam dok ajar Pe Chey daftar affiliate Bulan Bintang

Semalam dok ajar Pe Chey daftar affiliate Bulan Bintang

Semalam dok ajar Pe Chey daftar affiliate Bulan Bintang. Dekat jam 12 malam dia mai suruh ajar. Mula-mula aku tunjuk-tunjuk cara je. Makin tunjuk makin tak faham ni, aku ambik je telefon dia tolong buatkan. Haishh, geram aku. Agaknya ni perasaan mak-mak dan ayah-ayah...

Kita tak boleh ubah (sikap) orang disekeliling kita

Kita tak boleh ubah (sikap) orang disekeliling kita

Kita tak boleh ubah (sikap) orang disekeliling kita, tapi kita boleh ubah (siapa) orang yang patut ada disekeliling kita. Kita tak boleh nak ubah sikap orang yang suka mengumpat, menabur fitnah, suka menokok nambah cerita, suka melaga-laga, suka bersangka buruk....

Sayu juga tengok lukisan ni. Ia simple, namun mendalam.

Sayu juga tengok lukisan ni. Ia simple, namun mendalam.

Kena dengan ramai antara kita. Berusaha demi menyara keluarga, mencari rezeki yang halal dari siang membawa ke malam. Hanya untuk kesenangan anak isteri, seorang suami tidak kisah bersusah payah. Biar dia penat, biar dia berpanasan, biar dia basah ditimpa hujan, demi...

Bagusnya MYDIN Malaysia

Bagusnya MYDIN Malaysia

Terbaca perkongsian sahabat aku, Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan tentang bagusnya MYDIN Malaysia menyantuni pekerja OKU. Mydin menerima pekerja OKU tanpa membezakan gaji mereka dengan pekerja biasa. Bahkan lepas SPM dulu aku sempat bekerja di Mydin Kota Bharu, cari...



durioo
belajar-sirah-nabi



mathzier-eazier-1-0

JOM BERSEDEKAH

dana-kita-pay

LANGGAN UPDATE TERKINI

Recent Comments

Kategori

Kalendar

April 2024
M T W T F S S
1234567
891011121314
15161718192021
22232425262728
2930  

Arkib