Moratorium Patut Disambung Bagi Bantu Rakyat

Moratorium Patut Disambung Bagi Bantu Rakyat

10 Sebab kenapa Moratorium patut disambung. Mohon Kerajaaan pertimbangkan

1.Tempoh moratorium 6 bulan telah tamat. Namun kes COVID-19 kembali memuncak. Walau tidak di lockdown seluruh negara seperti tempoh hari, sangat ramai orang terkesan.

2. Jangkaan oleh pakar kewangan, 1000 orang rakyat Malaysia akan muflis sebulan. Orang yang muflis itu mungkin satu-satunya ketua keluarga yang menyara keluarga. Bayangkan berapa ramai ahli keluarga dan rakyat terkesan?

3. Sepanjang PKP bermula dan sepanjang tempoh moratorium, bank-bank di negara kita masih mencatat keuntungan. Tidak rugi, hanya susut untung sahaja.

4. Maka apa salahnya moratorium disambung 6 bulan lagi atau sekurang-kurangnya sehingga Disember 2020 bagi mengurangkan bebanan rakyat Malaysia.

5. Benarlah bukan semua orang yang dapat manfaat dari moratorium ini seperti penjual nasi lemak, mekanik dan lain-lain yang tiada pun hutang kereta, personal loan dan seumpamanya. Namun perlu diingat, bila orang sekeliling mereka ada duit lebih, mereka akan berbelanja lebih.

6. Manfaatnya dapat dirasa oleh penjaja, dan bidang pekerjaan lain kerana aliran tunai itu sentiasa ada.

7. Syarikat juga boleh meminimakan membuang pekerja dan dapat membayar gaji seperti biasa kerana moratorium sedikit sebanyak memberi banyak kelegaan kepada majikan juga.

8. Lebih bagus, masa PKP tempoh hari, sangat ramai rakyat Malaysia menderma. Bila potongan pinjaman kereta, rumah, personal loan mereka ditangguhkan, duit lebihan itu disimpan dan sebahagiannya didermakan kepada NGO atau mereka sendiri turun padang dan membantu sesiapa yang memerlukan.

9. Ramai rakyat tengah susah, struggle nak teruskan kehidupan, tidak lena tidur memikirkan apa yang hendak dihidang pada ahli keluarga esok hari. Perniagaan merosot akibat orang ramai berjimat cermat, bank mula mengejar hutang. Dan jika moratorium diteruskan, pasti ianya melegakan.

10. Habis dah point saya. Kalian ada point tambahan, sila tulis kat ruangan komen.

Selamat pagi semua!

#MFS

 

moratorium-patut-disambung

Semoga artikel Moratorium Patut Disambung Bagi Bantu Rakyat bermanfaat buat semua pembaca Cikgu Fadli Online ya. Sila share agar lebih ramai lagi dapat membacanya.

Cerita Katak Panjat Tiang Yang Menginspirasi!

Cerita Katak Panjat Tiang Yang Menginspirasi!

Pernah dengar cerita katak panjat tiang? Kalau belum, dengarkan….

Alkisah ada sekumpulan katak di satu kolam yang dipagari dengan dinding yang tinggi. Mereka tidak dapat keluar dari kawasan itu melainkan dinding itu runtuh.

Pada suatu hari, seekor dari mereka membawa berita,

“Hai kawan-kawan. Ada satu tiang baru sahaja dipacak disebelah dinding yang tinggi ini. Barang siapa mampu memanjat tiang itu, pasti dia dapat keluar dari kawasan ini.”

Maka berpusu-pusu lah seluruh katak yang ada di kolam itu menuju ke arah tiang yang dimaksudkan. Sebaik sampai, kata yang paling tua diantara mereka,

“Tiang ini sangat tinggi dan licin. Mustahil untuk kita panjatnya.”

Ramai katak bersetuju dengan pandangan katak itu. Namun ada sekumpulan katak tetap cuba untuk memanjat. Belum sampai separuh tiang, ada yang kepenatan dan berhenti sekejap.

Katak-katak yang dibawah pula asyik melemahkan semangatnya.

“Baru separuh kau dah penat. Nanti kau hilang tenaga, boleh jatuh dan mati.”

Maka katak-katak itu turun semula. Yang terjatuh sebab asyik menjawab soalan kawan-kawan di bawah pun ada juga.

Sampai satu ketika, datanglah seekor katak kecil. Katak itu pekak dan bisu.

Dia cuba memanjat, bila penat dia berhenti. Sedikit demi sedikit, akhirnya dia sampai ke puncak dan melompat keluar dari dinding yang mengurung mereka dari dunia luar selama ini.

Katak yang paling tua itu berkata semula,

“Katak itu pekak dan bisu. Dia cacat. Memang tenaga dia lebih dari katak normal macam kita.”

Katak-katak lain bersetuju dan mula hendak pulang ke kolam. Namun ada seekor katak yang terinspirasi dengan kejayaan katak pekak dan bisu itu.

‘Jika kerana katak itu pekak dan bisu membuatkan dia berjaya memanjat keluar, aku juga boleh memekakkan telinga aku dan membisukan mulut aku seperti dia.’

Katak ini muka memanjat. Seperti biasa, katak-katak lain terus mengejek dan cuba melemahkan semangatnya.

Namun katak itu memekakkan telinga dan tidak membalas ejekan kawan-kawan dia. Akhirnya…….

Akhirnya dia berjaya!

Iktibar dari Cerita Katak

Begitulah kawan-kawan. Dalam hidup ini kadang-kadang memang ada orang dengki dan iri hati. Memang ada yang cuba melemahkan semangat kita. Memang ada yang ingin sangat melihat kita jatuh.

Dan adakalanya, kita perlu pekakkan telinga dan diam sahaja tanpa kata apa-apa. Biar kejayaan kita menjawab semua tohmahan, caci makian dengan bergaya.

Tinggalkan sahaja mereka yang hanya tahu membawang terkurung dalam dinding yang mereka sendiri tidak mahu atasi.

Kita bukan katak. Namun semangat katak itu boleh kita tiru.

#MFS
– Abaikan yang berkata, terus saja berusaha –

Semoga Cerita Katak oleh Cikgu Mohd Fadli Salleh ini bermanfaat untuk semua pembaca Cikgu Fadli Online ya. Jom baca juga nukilan mengenai PKPB di sini.

katak-mfs
Ilustrasi oleh Proiti Roy untuk Buku cerita Frog Starry Wish
PKPB Tidak Sama Untuk Semua Orang

PKPB Tidak Sama Untuk Semua Orang

PKPB dilanjutkan sehingga 9 November untuk negeri Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor.

Berkurung di rumah bagi yang mampu, tiada masalah. Mereka cukup segala-galanya.

Namun bagi segelintir yang lain, ia cukup menyeksakan. Orang tak ramai dijalanan bermaksud sale dan pendapatan mereka akan berkurang. Bahkan mungkin terus hilang.

Ada yang dibuang kerja. Ada yang kehilangan pendapatan akibat kurangnya orang atau perniagaan tidak dapat dijalankan.

Ia tidak mudah untuk sebahagian mereka. Saat kita masih boleh order KFC delivery hantar ayam panas ke rumah, ada keluarga yang makan berlauk kicap sahaja.

Ramai orang terkesan sebenarnya. Dan tanpa kita sedar, orang yang kita kenal rapat mungkin salah seorang darinya.

Tolong bantu jiran-jiran. Tolong bertanya khabar adik-beradik dan saudara mara. Mungkin mereka amat memerlukan bantuan dan sokongan kita.

Semoga wabak bahaya ini segera berlalu pergi. Amin.

Selamat pagi semua.

#MFS
– Bantulah setakat kita mampu –

Translate ¬Ľ