Nak tahu permainan Matematik yang menarik, anak suka dan paling penting sangat bagus untuk ingatan dan perkembangan otak anak-anak?
Ini tipsnya. Tanya saja soalan tambah. WAJIB mulakan dengan soalan tambah mudah tanpa pengumpulan semula (jawapan kurang dari 10).
Anak bila dia dapat jawab laju dan betul dia akan seronok sangat. Sebab itu kena bermula dengan soalan mudah.
Kena ada unsur cabaran juga dalam permainan ini. Biar anak rasa tercabar, baru dia makin semangat.
“Kakak, nak main satu permainan tak?”
Cara ajak pun kena betul. Jangan terus direct bagi soalan. Bila sebut ‘permainan’, anak mesti teruja.
“Papa nak tengok sepantas mana kakak boleh jawab soalan tambah. Papa pernah main permainan ni dulu dengan Mama, boleh tahan juga kelajuan Mama. Cikgu kakak cerita, kakak laju menambah.”
Di sini ada unsur cabaran. Ada juga unsur pujian dan galakan. Di sini minat dia berkembang. Nak ajak anak, kena ada teknik bang, tak boleh tiba-tiba terus ajak je.
“2+2?”
“3+2”
“1+0”
Ya bang. Mulakan dulu dengan soalan yang sangat-sangat mudah. 1+1 pun patut tanya tau. 10-20 soalan pertama WAJIB tanya soalan mudah. Hasil tambah yang kurang dari 10.
Biar mereka dapat jawab dengan tepat, laju dan pantas. Di sini keseronokan mereka bermula. Di sini minat mereka dipupuk. Masa ni bila dia jawab dengan laju dan tepat, kena puji dia dengan bersungguh-sungguh tau.
“Wah. Pandainya kakak. Laju betul kakak kira. Kalah Mama. Lagi laju dari kalkulator dah anak papa mengira ni.”
Kau tengok dia punya reaksi bila puji begini. Tersengih kesukaan. Kalau kau berhenti sekejap pun dia pula yang akan minta,
“Cepat la papa. Tanya la lagi.”
Saat ini kemenangan dalam tangan kau dah. Dia seronok, minat dipupuk, dan otak dia makin cerdas dan pantas mencongak.
Kemudian naikkan sedikit demi sedikit aras kesukarannya. Naik kepada hasil tambah lebih dari 10 yang mudah dulu. Ingat, WAJIB yang mudah dulu. Yang jawapannya 11, 12 dan 13.
“5+6”
“9+2”
“7+4”
“6+6”
Masa ni galakan, pujian, malah sindiran (yang positif) perlu diberikan bila dia agak lambat dan sangkut-sangkut. Sindiran untuk membangkitkan semangat itu perlu. Perlu dicabar ego mereka supaya mereka lebih berusaha.
“Apa ni kakak. Tadi berlagak sangat. Ni jawab 7+6 pun lambat-lambat dah. Kalahlah dengan Mama kalau macam ni. Kira laju lagi kakak. Laju lagi!”
Di sini semangat dia disuntik. Dia rasa tercabar, dia cuba mengira dengan lebih pantas dan tepat.
Nak lagi best, ajak adik dia, abang dia dan mama dia join sekali. Cuma kalau beramai-ramai sangat ada kekurangan besar.
Bila anak kita paling bijak yang sentiasa dapat jawab paling cepat, anak-anak lain akan mengalah. Dia biar je anak itu jawab dan dia langsung tak berusaha nak kira kerana dia dah set dalam kepala,
“Adik kira lambat. Mesti kakak dulu dapat jawab. Kakak kira laju dan tepat.”
Maka dia tak berusaha untuk mengira. Paling-paling pun dia hanya tiru jawapan kakak dia. Jadi, elakkan main dengan anak yang berbeza kecerdasan mereka.
Lebih baik libatkan ibunya. Cuma ibu kena berlakon jawab salah dan lambat-lambat jawab. Dia akan lebih seronok bila dia jawab lebih tepat dan laju dari ibunya.
Cubalah main permainan yang sangat simple ini, namun sangat bagus untuk perkembangan IQ anak-anak.
Boleh main masa dalam kereta, sambil basuh pinggan, sambil-sambil lipat baju, sambil-sambil berjalan ke taman dan sebagainya.
Nak tips belajar Maths dan kupasan isu-isu semasa tentang pendidikan setiap hari? Joinlah channel telegram saya di link ini. :-
t.me/MohdFadliSalleh
#MFS
– Berkongsi tips menarik –
0 Comments