Dalam hidup ini, bukan semua benda kita mampu kawal.
Soal jatuh bangun dalam kehidupan, ia adalah lumrah. Jika merancang dengan baik, seteruk mana kejatuhan pun kita mampu bangkit.
Aku dah ready untuk jatuh naik dalam bisnes sebaik terjun dalam arena ini. Ready mental, emosi dan kewangan. Tidak ada masalah untuk aku hadap tempoh lockdown ini kerana aku telah merancang dan InsyaAllah ada jalan penyelesaian.
Namun soal sakit demam, hidup mati ni, luar dari kawalan kita sebagai manusia. Itu hak mutlak Allah taala.
Setiap yang bernyawa itu pasti akan mati juga suatu hari nanti. Syarat mati bukan tua, bukan sakit, bukan covid. Syarat mati ialah hidup.
Aku tahu suatu hari nanti aku kena hadap kehilangan orang-orang yang aku sayang. Atau mungkin mereka yang kehilangan aku terlebih dahulu.
Itu kitaran kehidupan. Sentiasa tahu dan sentiasa faham.
Cuma aku tidak bersedia untuk kehilangan sesiapa jua yang aku sayang akibat virus covid ini. Tidak. Aku tidak bersedia untuk itu.
Kerana perjalanan terakhir pesakit covid tidak sama dengan pengakhiran yang biasa.
Semoga Allah memberi kesembuhan kepada kedua ibubapaku, kakak, abang, adik, anak-anak saudaraku, sanak saudara dan seluruh manusia yang dijangkiti covid ini.
Kalian kuat. Doktor dan staff KKM kita hebat. Doa kami panjat. InsyaAllah doa akan diangkat dan mustajab.
Tuhan. Makbulkan doa kami. Sesungguhnya hanya Engkau Maha Penyembuh lagi Maha Berkuasa.
Tiada dua. Tiada tiga. Hanya Engkau Yang Esa.
Bismillah…
0 Comments