Oleh: Cikgu Mohd Fadli Salleh
Hari kedua abah pergi, kami adik-beradik duduk dan berbincang. Kami tidak bincang untuk agihan harta. Tidak.
Tapi kami bincang tentang bagaimana nak teruskan program kebajikan yang abah istiqomah berpuluh tahun lamanya.
Buat pertama kali dalam hidup, kami adik-beradik tahu jumlah sumbangan wajib abah setiap bulan.
Itu pun setelah Ahmad pergi bertanya kepada Pok Ta, tokey kedai runcit kecil di kampung kami. Kami tahu abah kirim sumbangan wajib setiap bulan melalui Pok Ta. Cuma jumlah berapa, berapa ramai sasaran itu yang kami tidak tahu.
Rupanya, setiap bulan sekitar RM1,500 abah sisihkan duit pencen beliau bayar kepada Pok Ta. Pok Ta akan hantar beras, telur, minyak masak dan seumpamanya kepada sanak saudara kami yang asnaf dan miskin, kepada orang kampung yang kematian suami dan anak yatim.
Setiap bulan, berpuluh-puluh tahun lamanya. Bukan baru setahun dua, bukan bila anak dah besar.
Masih aku ingat, jiran belakang rumah kematian ayahnya. Masa tu aku kecil lagi. Agaknya usia 4-5 tahun. Sejak hari pertama Ayah Pa meninggal dunia, setiap bulan akan sampai beras abah kirim.
Sama juga dengan jiran sebelah rumah yang kematian ayahnya. Begitu juga abah buat. Beras, gas, setiap bulan ambil di kedai Pok Ta. Masuk buku abah semuanya.
Aku cuma tahu satu dua rumah sahaja. Ni baru aku tahu, rupanya RM1,500 sebulan abah sisih gaji beliau hanya untuk projek kebajikan.
Setiap rumah tak dapat banyak, sekitar RM50 sahaja nilai sebulan. Namun abah dapat bantu ramai orang. Sehingga sanak saudara kat kampung sebelah pun abah bantu juga.
Kami sepakat adik-beradik, walau abah tiada lagi, program ini akan tetap diteruskan. Kami akan guna duit pencen abah RM1,000 dan selebihnya adik-beradik kami akan tambahm
Rupanya abah juga berpesan pada ma,
“Bila saya tiada nanti, ambil RM1,000 dari pencen saya, teruskan apa yang saya buat ini”.
Allahu abah. Selepas mati pun abah berbakti lagi. 😭
Duduk dengan abah, jarang abah bercerita tentang diri dia. Jarang dia ajak bercerita pasal keluarga kami.
Banyaknya abah akan ajak berbicara tentang masyarakat, tentang jiran-jiran, tentang sanak saudara. Bicaranya selalu tentang ingatkan anak-anak agar sering ziarah sanak saudara.
Agar selalu bertanya khabar. Agar membantu orang lain. Jika ada cerita tidak elok, cerita aib tentang orang lain, usah tanya abah. Walau abah tahu, abah takkan cerita. Kita yang tanya kena marah.
Abah pesan, jangan cerita buruk tentang orang. Jangan ambil tahu aib orang melainkan kita nak bantu selesaikan.
Jika hanya nak tahu untuk membawang, jangan. Marah abah. Abah tak suka cerita buruk orang. Apa lagi buruk jiran-jiran atau sanak saudara.
Ebook ini kami adik-beradik buat masa PKP 1 dulu. Ada slot untuk abah juga. Seronok abah bila tahu kami buat ebook untuk diedar secara percuma.
Dalam ebook ini berkali-kali abah tekan,
Kena bantu orang.
Kena bantu orang.
Orang tengah susah.
Ini masa terbaik nak bantu. Masa untuk bayar zakat dan sebagainya.
Abah. Kami adik-beradik akan pastikan pesanan dan nasihat abah dituruti semampu kami.
Kematian abah bukan hanya hilang dan pergi begitu sahaja.
Kematian abah ada kematian yang menghidupkan.
Menghidupkan hati-hati kami yang lalai.
Menghidupkan kembali semangat kami yang mati.
Menghidupkan kembali jiwa kami yang mula lupa dan tidak lagi peduli.
Terima kasih abah atas segala tunjuk ajar dan nasihat.
Sayang abah hingga ke syurga. ❤️
Nota : Yang nak dapatkan Ebook Secangkir Hikmah PKP secara PERCUMA, terus klik sini :
https://ezy.la/secangkirhikmah
#MFS
0 Comments