Oleh: Mohd Fadli Salleh
Abah dan anak-anak.
Abah seorang yang tegas, tapi penyayang. Dalam mendidik anak, memang ada ketegasan seorang lelaki dan ayah.
Anak-anak kalau abah marah, semua menikus. Tak berani nak angkat kepala, apa lagi nak menjawab dan bersuara.
Namun kasih abah pada anak-anak tak berbelah bagi. Apa yang anak beri, sangat dihargai. Dulu pernah abah berkata,
“Abah ni, duit pencen ada, duit padi ada, duit getah ada, duit sewa rumah pun ada
Yang tu pun tak habis nak makan.Tapi abah gembira kalau anak-anak kirim duit. Duit anak-anak kirim ni abah buat belanja semua. Belanja makan abah, belanja apa-apa. Ada lebihan lagi abah buat sedekah.
Biar pahala tu sampai pada anak-anak. Bila abah tiada nanti, anak-anak tak ralat sebab sempat berbakti pada abah”.
Gitu abah punya pemikiran. Bukan hanya untuk cari pahala kat dia seorang, dia siap merancang agar anak-anak pun dapat pahala juga.
Sebab tu aku suka sangat kirim duit banyak-banyak kat abah. Aku tahu abah akan infaq balik sebahagian besar dari kiriman aku.
Ramai orang bertanya,
“Adik-beradik kau semua cikgu kan? Abah kau wajibkan anak-anak jadi cikgu ke macamana?”
Abah tak pernah memaksa anak-anak nak jadi apa. Semua orang lepas pada dapat sijil SPM abah akan bagi kebebadan nak pilih course apa, jurusan apa, universiti mana.
Namun abah pernah berkata,
“Abah ni kalau boleh nak anak-anak jadi cikgu cukup lah. Jadi cikgu ni tak mewah, namun tidak akan susah.
Paling penting, bila anak-anak jadi cikgu, boleh pulang jenguk abah dan ma selalu. Tapi kalau nak jadi doktor, jadi peguam, jadi arkitek, abah takkan halang”.
Gitu je abah kata, semua anak-anak terus patuh dan taat. Kami tahu ada keberkatan bila ikut kata-kata abah.
Dan benar. Setiap kali cuti sekolah rumah abah sangat meriah. Penuh dengan anak cucu memandangkan semua 9 orang anak-anak abah menjadi cikgu. Menantu abah 8 orang cikgu, seorang engineer.
Jadi boleh kata, setiap kali cuti sekolah semua balik serentak ke rumah abah.
Sebab tu hubungan kami 9 beradik sangat-sangat erat. Sebab kami sentiasa berjumpa depan mata, berhubung, bercerita dan saling meluah apa sahaja.
Ada keberkatan dalam kata-kata abah dalam keluarga kami. Bagai disumpah, sampai ke anak cucu semua jadi cikgu setakat ni. 😅
1. Kami 9 beradik adalah cikgu.
2. Menantu abah 8 orang cikgu.
3. Cucu pertama abah di IPGM bakal guru.
4. Cucu kedua abah di IPGM bakal guru.
5. Cucu ketiga abah di IPGM bakal guru.
6. Cucu keempat abah baru dapat tawaran IPGM untuk menjadi bakal guru.
7. Cucu-cucu yang lain termasuk The Arumis belum tahu lah apa hala tuju mereka.
Hah tu diaaa. Boleh buka sekolah sendiri dah ni. Haha.
Abah cukup menyokong anak-anak dalam bidang pendidikan. Aku buat kelas LIVE percuma, abah akan tonton sampaj habis. Kemudian abah call dan bagitahu apa pandangan dia.
Bekas pengarah IPGM kot. Semua skill pengajaran dalam poket dia ja.
Gambar ini waktu kami 9 adik-beradik sepakat join Pertandingan Inovasi Pembelajaran Peringkat Antarabangsa 2019.
9 adik-beradik guru berganding kepakaran dan idea buat satu inovasi. Dan abah dan turut datang memberi sokongan walau pertandingan ini berlangsung di UUM, Kedah.
Alhamdulillah, kami mendapat Gold Medal dalam pertandingan itu. Seronok sungguh abah.
Dan bila pihak penganjur tahu Cikgu Fadli dan adik-beradik turut sama dalam pertandingan berprestij tinggi ini, mereka jemput aku untuk berucap semasa perasmian penutup.
Menitis air mata ma dan abah aku anak lelaki mereka yang nakal ini orang jemput duduk sebaris dengan Prof dan Dekan University.
Menitis airmata abah bila lihat anak lelaki yang degil ini orang muliakan suruh berucap di depan ribuan orang-orang hebat dalam bidang pendidikan.
Dan menangis lagi ma dan abah bila aku tunjukkan pada semua dan berkata,
“Itu ma dan abah saya. Kerana mereka berdua saya di sini pada hari ini. Mereka adalah inspirasi saya”.
Satu dewan memandang abah dan ma.
Anak lelaki yang degil dan sangat nakal suatu ketika dahulu kini membanggakan mereka. Di satu pentas besar yang penuh gilang gemilang.
Inilah dia gambar kami 9 adik-beradik bersama abah dan ma.
Berdiri dari kiri : Kak Long, Kak Ma, Abang Ariff, Abah Ma, Kak Sa, Kak Yah.
Duduk dari kiri : Aku, Afifah, Ahmad dan Siti Faizah.
Semua nama di atas menurut turutan anak sulung hingga anak ke sembilan.
Terima kasih abah kerana mendidik kami dan kasih sayang yang diberi hingga ke akhir nyawa abah.
Sayang abah hingga ke syurga. ❤️
#MFS
0 Comments