Masuk kelas semalam, dua orang murid ralit melipat kertas. Nampak aku je, cepat-cepat dia nak sorokkan.
“Hah, buat apa tu!” sergah aku.
“Tak ada apa-apalah,” balas dia sedikit ketakutan.
“Keluarkan dari meja tu!” arah aku dengan tegas.
Murid berdua ini patuh. Diletak atas meja jet yang belum sempat dia siapkan ini.
“Awak nak buat apa ni? Kapal?” soalku
“Bukan, cikgu. Jet,” balas mereka berdua.
“Siapkan jet awak, cikgu nak lihat.”
Budak berdua pandang aku macam percaya tak percaya. Apa cikgu disiplin suruh dia siapkan jet pula. Aku angguk-anggukkan kepala sahaja, mereka faham.
Kurang dari 1 minit, jet itu siap.
“Awak tahu tak, apa yang awak buat ini kalau di Jepun namanya origami?”
Mereka geleng kepala.
“Buka YouTube, tulis ‘origami’. Bukan poligami tau. O.R.I.G.A.M.I.
Ia adalah satu kemahiran yang bagus untuk otak. Cuma kita di sini masih tersekat hanya buat jet, buat kapal. Itu je awak semua tahu.
Jika awak lihat dalam YouTube, mereka buat binaan, mereka buat binatang yang cantik-cantik guna kertas dengan kemahiran origami ni.
Benda boleh jual, boleh buat duit lagi.
Tak salah awak buat jet. Yang salahnya awak buat sampah. Dah jadi jet awak baling merata lepas tu tinggal sampah tu.
Lebih salah bila awak buat jet dan main masa guru mengajar. Juga kesalahan awak paling besar, awak guna buku latihan yang baru sahaja dibeli ini jadikan jet.
Lain kali nak buat jet, buat jet yang berkualiti. Yang hebat. Yang menarik. Yang kemas. Yang boleh dijual. Bukan jet simple macam ini.
Dengan kertas ini, macam-macam awak boleh buat tau. Sekeping kertas ini jika pandai diguna, jika pandai diubah, ia boleh menjadi sumber kewangan. Boleh menajamkan akal fikiran. Boleh membuatkan awak menjadi seorang murid yang kreatif.
Cikgu tak marah awak gunakan kemahiran awak pada tempat yang betul. Tapi cikgu akan marah bila awak salah guna ia. Contohnya macam main masa cikgu mengajar, buat sampah dan guna buku cikgu untuk buat jet.
Dah, simpan jet awak. Nanti masa free sambung buat. Fikirkan supaya jet awak kali ini jadi lain dari yang lain. Sebuah jet yang special dan kemas ya!”
Panjang aku bersyarah kat mereka. Mereka mengangguk tanda faham dan menarik nafas lega. Lega kerana mereka sangka mereka akan dihukum, sebaliknya aku meraikan minat mereka.
Awalnya memang aku nak marah juga, namun bila aku fikir semula, bukan semua benda perlu kita marah-marah. Marah-marah hanya menyekat potensi anak-anak ini.
Kita kena didik dan ajar mereka salurkan kemahiran dan kreativiti mereka ditempat yang betul.
Kita dibesarkan dengan banyak pantang larang. Dengan tengkingan dan rotan. Dengan amaran dan larangan.
Hingga kita takut mencuba sesuatu yang baru. Hingga menyekat potensi diri kita yang sangat banyak terpendam itu.
Kini kita menjadi orang tua. Kini kita menjadi dewasa. Kita ubah gaya didikan. Usah ulangi kesilapan sama yang dilakukan oleh orang-orang dulu.
Dari asyik marah-marah, adalah lebih baik kita ajar mereka cara yang betul.
Begitulah.
#MFS
– Terkadang mereka bijak, tapi kita yang sekat –
Kisah Sekolah Rendah
T.me/EbookCikguFadli
0 Comments