Oleh: Mohd Fadli Salleh
Laju sungguh cerita di media sosial ini tersebar. Walau pos tu saya dah tarik balik, namun sempat wartawan Kosmo, Sinar Harian dan lain-lain ambil content tersebut dan dijadikan berita.
Benarlah kata orang, ‘What goes online, stay online’.
Kisahnya simple sahaja. Setiap minggu kami ada program jv bersama PTPTN. Minggu lepas ke Kedah. Minggu ini ke Terengganu. Minggu depan ke Kelantan dan seterusnya di tempat lain pula.
Setiap lokasi kami tuju diiringi oleh pegawai PTPTN bahkan Datuk Wan Saiful Wan Jan, Pengerusi PTPTN pun banyak kali turut serta.
Untuk pergerakan rentas negeri, kami dapat surat sokongan dari Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Rina Harun, Pengarah Bahagian Komuniti (b.p Ketua Pengarah JKM) Quek Qia Ann, NADMA, PTPTN dan kebenaran balai polis berdekatan untuk kelulusan pergerakan.
Setelah dapat kebenaran JKM dan NADMA, kami ingat dah tak perlu dapatkan kelulusan dari Pusat Kawalan Operasi Bencana Daerah (PKOB). Rupanya masih perlu dapatkan pula surat kelulusan PKOB.
Pegawai polis yang menjaga SJR itu amanah dan mengikuti peraturan yang ditetapkan. Pegawai tersebut datang memberi penjelasan dengan sopan dan teratur. Kami tidak menyalahkan mana-mana pihak melainkan mengambil iktibar dari insiden ini.
Tak apalah, ini semua ujian kecil dalam arena kebajikan. Di masa akan datang, kami akan mohon semua surat yang diperlukan dan akan patuhi SOP yang ditetapkan agar agihan bantuan bersama GLC kerajaan dapat sampai kepada ramai yang terkesan akibat MCO ini.
Cuma diharap MKN dapat mempermudahkan SOP untuk kelulusan menghantar bantuan rentas negeri ini. Lagi pun hampir semua ahli Dana Kita telah mendapat dua dos vaksinisasi.
Kelonggaran rentas negeri bagi menghantar bantuan dari NGO sepatutnya dipermudahkan oleh MKN. Begitulah sepatutnya.
Tidak banyak tapi sentiasa.
Tidak ramai tapi ada.
Tidak kaya tapi cakna.
Presiden Pertubuhan Kebajikan Dana Kita
Mohd Fadli Salleh
0 Comments