Siapa sangka kes saya menggempar satu Malaysia. Saya pun tidak sangka.
Hingga ramai ahli politik, menteri bahkan pm turut sama membicarakannya. Ramai tokoh-tokoh ternama, nama besar dalam arena politik turut serta menyatakan sokongan mereka.
Terima kasih semua yang ikhlas menyokong.
Cuma saya bukan anak kecil yang boleh diperguna oleh mana-mana pihak.
Saya tidak teruja dengan tawaran wang ringgit, pangkat dan kedudukan.
Saya tidak teruja bila orang ternama, ada kedudukan, ada pangkat menyebut nama saya, mengajak saya berjumpa.
Saya tidak mudah terpedaya dengan janji manis orang politik memuja muji saya, dan nak tolong saya dengan ikhlas katanya.
Kalian yang jujur nak tolong pejuangkan isu pendidikan kita agar disegani dan dihormati, teruskan perjuangan kalian. Masukkan apa saja yang perlu dalam manifesto untuk menarik sokongan rakyat.
Silakan guna isu pendidikan atas pentas politik dan ceramah berapi kalian. Sila realisasikan setiap cadangan baik dan bernas untuk kebaikan rakyat Malaysia.
Namun untuk heret saya naik ke pentas politik kalian, tidak sama sekali. Tak kira parti mana, PH atau PN, atau mana-mana sekali pun, saya takkan hadiri.
Cukuplah saya berjuang dengan cara saya begini.
Sebaik saya melangkah naik pentas politik mana-mana pihak kerana teruja dengan kemasyhuran, teruja dengan janji manis orang politik, saat itu saya tewas dengan diri sendiri.
Saat itu walau sokongan bergema di pelusuk negara, saat itu sebenarnya saya telah memijak henyak maruah saya sendiri.
Saat itu saya telah membelakangi prinsip diri saya. Saat itu orang akan meludah dan mengeji walau sebahagian lain memuja muji.
Saat itu orang akan simpulkan perjuangan saya ada niat tersembunyi.
Sebab tu saya takkan sesekali melangkah naik ke atas pentas politik mana-mana pihak.
Saya tahu, perangkap kemasyhuran dan banyaknya sokongan ini sangat bahaya untuk saya.
Saya paling takut saya rasa saya sentiasa betul dan benar kerana banyaknya sokongan. Saya sangat takut wujud sikap ujub dan takbur dalam diri.
Ma pesan sungguh-sungguh Subuh tadi masa call aku,
“Li. Jaga hati. Sokongan terlalu kuat ini ujian besar untuk Li. Jangan sedap hati sangat. Ujian kemasyhuran, ujian sokongan besar sebegini tidak mudah diatasi. Ia ujian hati.
Ingat pesan ma, solat jangan tinggal. Didik diri dan keluarga merendah diri. Kita ni tiada apa atas muka bumi Allah taala ini”.
Kawan-kawan. Doakan Allah sentiasa menjaga hati saya. Tegur saya masa saya salah. Saya tak betul dan benar pada setiap masa.
Sesungguhnya ujian hati itu ujian yang sangat tinggi. Doakan saya sentiasa kuat untuk berjaya dalam ujian hati ini.
Doakan saya istiqomah dalam perjuangan ini.
Tuhan. Jaga hatiku. Bismillah.
#MFS
– Perjuanganku bukan untuk diperkuda sesiapa
0 Comments