Oleh: Cikgu Mohd Fadli Salleh
Abah memang kasih sungguh pada bumi Mekah dan Madinah. Maka abah merancang dengan teliti untuk membawa isteri dan 9 orang anak-anaknya ke bumi kecintaannya.
Abah kerja seorang. Anak pula sembilan. Kos ke tanah suci bukan murah. Maka abah merancang dengan penuh teliti. Abah berniat nak bawa semua anak-anak menjejak kaki ke tanah haram, bumi kerinduan.
Setiap anak yang lahir, abah terus buka tabung haji dan potong RM30 sahaja. Ya, nilai tidak besar kerana tanggungan abah ramai.
Namun RM30 sebulan, jika istiqomah simpan selama 15 tahun dah ada sekitar RM6000 termasuk dividen. Satu jumlah yang kiranya cukup nak bawa anak-anak kerjakan umrah.
Dan itulah yang abah lakukan. Potong gaji setiap bulan selama 13 – 15 tahun untuk setiap anak-anak. Maka hajat abah tercapai.
Kesemua adik-beradik kami abah sempat bawa memijak bumi kerinduan ini.
Abah hanya bawa anak-anak ke Haramain bila mereka akil baligh. Kata abah, rugi bawa anak yang masih kecil dan tak tahu apa. Kos bukan murah, lebih penting mereka tidak pandai pun nak buat amal ibadah. Lebih merisaukan, mereka akan ganggu pula amal ibadah ibubapa.
Sebab tu semua anak-anak abah bawa ke sana bila dah akil baligh. Ada yang adik-beradik yang bertuah, abah bawa masa musim haji. Alhamdulillah, rezeki mereka. Ramainya hanya kerjakan umrah sahaja.
Biasa kalau bawa anak perempuan, abah akan bawa ma sama.
Kali terakhir abah menjejak kaki ke Haramain pada 2018. Kali ni anak-anak pula yang bawa abah. Seronok sungguh abah pergi sana, bumi kecintaannya.
Dulu, abah yang jaga anak-anak di tanah suci ini. Kali terakhir abah pergi, Kak Ma, Abang Ariff dan Kak Salbiah yang banyak jaga abah.
Masa tu abah dah semakin uzur. Perlu jagaan anak-anak pula.
Bahkan tahun 2019 nama abah naik lagi untuk panggilan haji. Abah nak pergi sangat-sangat masa tu, tapi nama anak-anak tak naik. Anak-anak pakat pujuk abah tangguh dulu memandangkan abah uzur.
Aku sendiri call pujuk abah. Abah susah nak urus diri tanpa bantuan anak-anak. Aku janji dengan abah nak bawa abah tahun lepas.
“Kita pergi sama-sama bah tahun depan. Li, Ahmad dan Abang Ariff akan pergi sama. Li dan adik-beradik akan jaga abah. Abah jangan risau”.
Maka abah setuju. Malangnya tahun lepas Covid melanda. Tidak boleh ke luar negara waima tunaikan umrah. Maka hasrat itu tidak dapat dilaksanakan.
Tak apa abah. Nanti border buka, nanti Li ada rezeki ke tanah haram lagi Li buat umrah untuk abah ya.
Abah sabar sekejap. InsyaAllah sampai masa Li akan pergi dan doakan abah depan kaabah. Doakan abah disetiap tempat mustajab doa yang abah tunjuk pada Li 23 tahun dulu.
Ah abah. Perancangannya sentiasa jauh ke depan. Matlamat abah sentiasa meletakkan agama di depan.
Mekah dan Madinah ni bumi paling barakah di atas dunia. Dan di dua tanah haram ini abah tanam impian nak bawa semua anak-anaknya dengan rezeki berkat beliau dan syukur Allah tunaikan.
Bahkan kasih sayang dan kecintaan abah pada tanah haram ini Allah beri satu tanah kepada abah untuk abah bina rumah dan waqafkan.
MasyaAllah. Bila Allah permudahkan, benda yang sukar orang nak dapat pun abah berjaya dapatkan. Bila niat dan matlamat itu ikhlas, bila rezeki itu barakah, Allah tunjuk jalan.
Terima kasih abah memimpin tangan ini 23 tahun nan lalu di lorong-lorong sesak bumi Madinah dan Mekah.
Terima kasih mandikan Li dengan air zam-zam suatu ketika dahulu.
Terima kasih atas semua memori dan yang paling mahal, ilmu untuk membawa semua anak-anak Li pula ke bumi kecintaan ini.
Semua itu Li praktikkan pada anak-anak Li pula. Niat abah dulu kini menjadi niat Li juga.
Sayang abah hingga ke syurga. ❤️
#MFS

Bersama Kak Long dan cucu sulung.

Kak Ma sangat bertuah, dapat jejak kaki berkali-kali di Haramain bersama abah. Dapat berbakti untuk abah.

Bersama Abang Ariff, anak lelaki sulung kesayangan abah. Masa ni abah dah agak uzur. Dan Abang Arifflah yang jaga abah sungguh-sungguh. Pernah abah demam teruk masa umrah terakhir ini sehingga Abang Ariff sangka umur abah akan habis di sana.

Anak ke empat abah. Abah bawa pergi umrah bersama ma dan adiknya (Dr Salbiah).

Dr Salbiah pun sempat dua kali ke tanah suci. Sekali abah bawa, kali kedua bersama Kak Ma dan Abang Ariff. Berbakti pula pada abah di sana.

Usia 15 tahun abah bawa aku ke Tanah Haram. Bawa ke rumah tok guru Mekah. Bawa ke setiap tempat mustajab doa. Dan abah selalu minta aku doakan satu benda, “Minta Allah tetapkan iman”. Itu pesan abah. Abah tak suruh minta doa kaya raya ke apa. Abah sentiasa suruh mohon doa pada Allah agar ditetapkan iman. Hebat pesan dan tunjuk ajar abah walau abah bukan ustaz, bukan alim ulamak.

Bersama anak ke tujuh, Afifah. Muda lagi abah masa ni. Rasanya sekitar 2001.

Anak bongsu lelaki abah. Ahmad paling beruntung. Dialah yang menjaga abah di wad sehingga akhir hayat abah. Beruntungnya dapat berbakti begitu. Cemburu sungguh aku. Terima kasih Mad jaga abah sungguh-sungguh. Jaga lebih dari jaga diri sendiri.

Siti Faizah. Anak bongsu manja dan rapat dengan abah. Dia ke Haramain bersama Ahmad

Inilah semua 9 orang anak-anak abah. Semua menjadi guru. Dan semuanya abah sempat bawa menjejak kaki ke bumi kecintaan abah, Haramain.
0 Comments