Oleh: Cikgu Mohd Fadli Salleh
“Semua orang, jangan masuk rapat. Bersurai. Tengok dari jauh sahaja,” ujar anggota polis dengan lantang dan tegas.
Semua orang yang menghampiri pagar kubur beredar dan mematuhi arahan anggota polis itu kecuali seorang pemuda yang memakai topi. Pemuda itu kelihatan termenung panjang. Entah apa yang bermain di fikirannya.
“Kau! Yang pakai topi tu! Beredar!” sergah anggota polis bila melihat pemuda itu tidak berganjak.
Namun pemuda itu tidak bergerak walau disergah kuat. Sergahan itu menarik perhatian ramai orang. Semua mata tertumpu pada kejadian ini.
“Kau! Saya kata beredar!” suara anggota tersebut makin kuat. Kedengaran suara polis sedikit berang bila arahannya tidak dihiraukan.
Namun pemuda bertopi itu, tetap tidak berganjak walau seinci. Jauh lamunannya, entah dia terbang ke alam yang mana aku pun tidak tahu.
Anggota polis tersebut kelihatan sangat marah. Dia berjalan menuju ke arah pemuda itu dengan tergopoh gapah. Serius sungguh wajahnya.
Melihat polis berwajah garang menuju ke arah pemuda bertopi dengan berang, cepat-cepat Abang Jamal laung dari jauh,
“Cik! Cik! Dia kurang sihat. Kurang segar. (Kurang waras)
Talib. Pergi jauh. Pergi jauh sikit!” jerit Abang Jamal.
Talib tidak mengendahkan arahan Abang Jamal. Dia merenung kosong ke bawah. Memandang rumput dan pasir sahaja.
Talib hanya tersentak dari lamunan bila anggota polis itu betul-betul berdiri depan dia. Terkejut dia polis dengan muka serius datang dan mengarahkan dia pergi jauh dengan tegas.
Talib terus melompat turun dari waqaf. Cepat-cepat dia berjalan lari jauh. Masuk menyorok dalam tandas dekat masjid. Dia takut.
Dari tandas masjid Talib mengintai kami menguruskan jenazah abah. Bila dia dapati pihak polis berada agak jauh dari pagar kubur dan leka memerhati kami menguruskan jenazah, perlahan-lahan Talib keluar tandas.
Dia kembali datang dekat. Kali ini dia pergi melihat dari bucu pagar sana. Jauh dari polis. Dia nak lihat mayat arwah Pok Muda Leh disempurnakan dengan mata dia.
Talib menunggu di kubur sejak awal lagi. Sebelum mayat sampai, sehinggalah semua urusan pengkebumian selesai Talib setia menanti. Dan bila orang beransur-ansur pulang, Talib melangkah longlai turut sama beredar pergi.
Entah dari mana berita Pok Muda Leh meninggal Talib dapat tahu. Entah siapa bercerita jam berapa Pok Muda akan dikebumikan sehingga Talib setia menanti, aku pun tak tahu.
Abah dan orang gila. Hubungan arwah dengan orang gila cukup istimewa.
Talib ini kalau abah jumpa di jalanan berjalan seorang diri, abah akan bagi duit. Kalau jumpa di kedai makan, abah belanja makan. Kalau jumpa di kedai runcit, abah akan cakap,
“Talib nak apa. Ambik. Pok Muda bayar”.
Tidak hairan Talib pun sayangkan arwah. Banyak kali Talib naik solat di masjid nak jumpa abah. Nanti abah bagi duit.
Ah, cara abah melayan orang gila memang istimewa.
Dulu ada seorang wanita gila dari kampung sebelah. Minah namanya.
Berjalan ke sana sini dengan pakaian yang sangat kotor. Tidak pernah mandi. Berkaki ayam sahaja. Rambut tu lalat pun duduk hurung. Baunya, MasyaAllah.
Setiap hari Minah akan singgah kat rumah abah. Dia tahu, datang rumah abah dapat makan nasi. Dapat makan sedap.
Walau hanya makan di beranda, tapi lauk untuk Minah makan sama apa yang abah makan. Sama yang ahli keluarga kami makan. Ma takkan sesekali bagi sisa pada Minah.
Setiap hari, pasti Minah sampai. Masa tu aku kecil lagi. Bila sehari Minah tak sampai, ma akan bersungut,
“Minah pergi makan kat mana hari ni? Tak ada datang pun”.
Esoknya bila Minah datang ma akan bertanya ke mana dia pergi. Minah walau dalam keadaan begitu, dia kenal Che Dor. Dia kenal Pok Muda.
Sehingga akhirnya Minah meninggal dunia.
Begitu juga cara abah melayan Wil Sabah. Lelaki yang memikul guni yang dipenuhi kertas, kain buruk, plastik dan sampah. Rambut kusut masai, bau busuk sekali.
Setiap kali lintas depan rumah abah, Wil Sabah akan berhenti. Dia cari abah. Dia tahu jika abah ada, dia dapat duit. Abah akan bagi walau seringgit, walau dua ringgit.
Wil Sabah pun dah meninggal dunia juga.
Sekarang tinggal Jani dan Talib.
Jani pemuda kampung sebelah yang hampir setiap hari singgah ke rumah abah. Bila nampak Jani, abah akan pelawa makan. Sesudah makan dan minum, abah akan bagi duit.
Seronok Jani. Hari-hari datang.
Sehingga suatu masa yang lama, Jani tidak lagi datang. Rupanya Jani sakit. Kena stroke. Dia duduk rumah adik dia yang jauh dari rumah abah.
Agaknya Jani tak tahu abah meninggal dunia dan dikebumikan kelmarin. Jika Jani tahu, aku percaya Jani juga akan sampai.
Jani selalu berbangga dengan orang kampung dia kenal abah. Jani berbangga dengan orang abah layan dia dengan baik. Itu cerita Jani jaja ke kedai kopi masa dia sihat dulu.
Sifat abah yang ini, jarang orang ada. Ramainya orang sebaik nampak orang gila mereka halau jauh-jauh.
Mereka takutkan anak-anak dan didik anak-anak menjauhi orang gila.
Tapi tidak dengan abah. Abah tunjuk contoh kepada anak-anak supaya layan orang gila baik-baik.
Sebab itu aku minta Awe dan Mek (tokey kedai siam) bagi makan orang gila yang datang ke kedai mereka. Aku suruh Awe dan Mek masak yang sedap-sedap, bukan bagi sisa.
Mereka nak makan minum apa, bagi saja. Tulis dalam buku. Nanti setiap bulan aku bayarkan. Sekitar Ong Tai Kim ini ada 3 orang gila selalu pergi makan Kedai Awe. Seorang Melayu, seorang Cina dan seorang India. Elok pula berbilang bangsa gituh.
Tapi sejak covid melanda bulan 3 tahun lepas, Awe dan Mek balik ke Thailand. Kedai tutup sejak itu. Dan entah di mana mereka makan. Tapi aku pasti, ramai pemilik kedai makan baik-baik dan selalu bagi makan percuma pada orang gila.
Abah. Terima kasih kerana selalu mendidik kami. Didikan abah jarang melalui perkataan, banyaknya melalui perbuatan yang boleh kami jadikan teladan.
Abah duduk baik-baik di alam sana ya. Kami anak-anak tidak pernah berhenti berdoa.
Abah sentiasa hidup dihati kami.
Sayang abah hingga ke syurga!
#MFS
0 Comments