Ada sebuah kapal besar milik Yang Berkuasa. Kapal itu dibina dengan izin Yang Mulia.
Sumber / Guru: Mohd Fadli Salleh
Analoginya begini…
Ada sebuah kapal besar milik Yang Berkuasa. Kapal itu dibina dengan izin Yang Mulia.
Kapal ini dipenuhi dengan kanak-kanak akan belayar ke sebuah pulau impian. Maka captain kapal terbaik bersama kelasi berpengalaman diamanahkan untuk mengemudi kapal itu.
Perjalanannya jauh. Bertahun lamanya di atas samudera. Dilambung ombak tinggi, dibadai taufan ribut, disambar kilat memancar.
Namun captain dan para kelasi teguh mempertahankan kapal impian ini. Demi masa depan anak-anak kecil yang penuh potensi, demi sebuah masa depan yang gemilang, mereka kental menghadapi segala ujian.
Ada beberapa kelasi perasan, kapalnya ada bocor. Perlu ditampung. Layar perlu ditukar. Haluan perlu diubah, ada taufan menggila di depan sana.
Namun captain bagitahu, tak boleh ubah layar tanpa kebenaran tanah besar. Surat diutus dengan merpati, memaklumkan Yang Berkuasa di tanah besar sana tentang kerisauan kelasi ini.
Yang Berkuasa dengan angkuh berkata,
“Jangan sesekali ubah kemudi. Usah ditukar layar itu. Usah ditampung bocor pada badan kapal. Semuanya baik-baik saja. Usah pandai-pandai.
Amaran keras pada kelasi, dilarang sesekali bercerita tentang bocor kapal, tentang taufan besar, tentang layar koyak, siapa ingkar akan dibuang ke tengah lautan”.
Yang Berkuasa tidak mahu menerima pandangan kelasi berpengalaman. Bahkan dengan angkuh memberi amaran.
Dia hanya nak cerita yang pada Yang Mulia kapalnya terbaik di samudera.
Tiada cacat, tiada cela. Semuanya baik-baik saja.
Sedang dia di daratan sana tidak tahu bagaimana ganasnya ombak besar membadai kapal, dia tidak merasai pengalaman kapal berpusing disedut pusaran air, dia tak tahu di mana bocor dan rosak kapal itu.
Yang dia tahu, yang dia mahu, apa jua kerosakan kapal, apa jua halangan di lautan dalam jangan sesekali diceritakan kepada orang ramai.
Nanti mak ayah yang anak-anak mereka di atas kapal risau. Nanti nampak mereka gagal.
Maka diamlah captain dan para kelasi. Tidak lagi berani menyuarakan apa-apa tentang kerosakan kapal. Risaunya mereka dibuang ke lautan dalam. Nanti bagaimana nak berenang pulang? Sedang anak isteri di rumah menanti penuh harapan.
Kapal terus saja bergerak mengikut arahan Yang Berkuasa yang tak tahu apa. Yang tak mahu mendengar sebarang berita tidak elok tentang kapalnya.
Teruslah belayar kapal itu dalam tunggang langgang. Ada penumpang yang jatuh ke laut, ada yang lemas, ada yang sakit merana.
Terus saja belayar dengan captain dan kelasi yang hanya tahu mengangguk saja.
Tanpa sesiapa lagi berani bersuara menyatakan kebenaran.
Dan terumbang ambinglah kapal itu sehingga ke hari ini.
Yang faham tu, fahamlah.
#MFS
[ MOHD FADLI SALLEH]
0 Comments