Oleh: Mohd Fadli Salleh
Ma, punca kekuatan abah.
Abah dan ma dijodohkan oleh saudara terdekat. Tidak pernah bercinta sakan, hanya sekali abah dibawa ke rumah Tok Wan (ibu kepada ma) di Bukit Kenak, Jerteh.
Pandangan pertama hati abah dah bertaut pada anak gadis kepada imam masjid dan tok guru mengajar mengaji Quran ini.
Maka berlangsunglah perkahwinan dengan persetujuan kedua mempelai dan redha dari kedua orang tua.
Abah bagitahu ma,
“Awak tak payah kerja. Saya ketua keluarga. Aaak jaga sahaja keluarga kita baik-baik”.
Maka si isteri penuh taat menjaga keluarga. Semua makan pakai abah dan anak-anak, ma memang jaga dengan sempurna.
Abah tidaklah romantik mana di depan anak-anak, namun setiap kali abah ke mana-mana, pasti pulang membawa hadiah kepada ma.
Abah seorang yang sangat jujur dalam bicara. Amanah dalam bekerja. Maka ma menyimpan 100% kepercayaan kepada abah.
Tidak pernah ma bertanya ke mana abah pergi sebaik abah melangkah kaki turun dari rumah. Jika kami pulang, lihat abah tiada di rumah dan tanya ma, biasanya ma akan jawab,
“Abah ada kerja la tu. Nanti dia pulang”.
Ma tak pernah ragu dengan abah. Tak pernah sangsi, tak pernah was-was. Tidak walau sekali.
Abah suka bawa pulang tetamu, suka jemput orang datang ke rumah. Dan ma sentiasa bersedia untuk meraikan tetamu. Terus sediakan air dan kudapan, dan jika waktu makan, tak pernah tetamu pulang kelaparan.
Ma tidak pernah mengeluh walau sekali, bahkan gembira tetamu datang. Dilayan dengan penuh adab dan sopan. Tidak pernah ma mencelah dalam perbualan abah dan tetamu. Hanya duduk dan menemani, menjawab bila ditanya dan disapa.
Ma sentiasa mendahulukan abah. Kadang waktu makan tengah hari, semua lauk pauk sudah masak dan terhidang. Tapi abah belum pulang dari masjid, tiada siapa boleh sentuh hidangan sebelum abah.
Lapar macam mana, kena tunggu abah. Kena makan sama-sama dengan abah. Lauk dalam pinggan tu abah dulu kena cubit, baru anak-anak boleh cubit.
Jika anak kecil yang kelaparan, ma akan ambil nasi dan lauk yang dalam periuk dan kuali. Hidangan utama atas meja untuk abah makan tetap sempurna tiada siapa sentuh lebih awal dari abah.
Setiap kali ma hidang air, mesti berlapikkan piring. Walau air kosong sahaja, tetap letak atas piring. Itu cara ma menghormati abah.
Hormat ma dan taat ma pada abah, sepenuh hati. Kerana ma tahu abah juga sepenuh hati menjaga keluarga dan setia orangnya.
Ma tidak suka meminta-minta. Namun abah sentiasa cakna. Sesekali, ada sahaja hadiah dibawa pulang untuk ma.
Bahkan sehari sebelum abah pergi, abah video call dengan ma. Abah kata abah teringat kat ma. Antara pesanan terakhir abah pada anak-anak,
“Jaga ma baik-baik. Taat pada ma.”
Ma sememangnya pelengkap hidup abah. Menyokong saat susah, turut bergembira saat senang.
Waktu pengkebumian abah, waktu aku menurunkan jenazah abah ke liang lahad, ma ada diluar pagar sana memandang detik terakhir itu dengan tenang.
Ma tahu, suaminya sangat bersedia untuk kehidupan di alam sana. Ma melepaskan abah pergi dengan tenang sekali.
Aku sendiri seolah tidak percaya melihat ma setenang itu. Selesai sahaja pengkebumian, aku mendekati ma dan merenung ke dalam mata ma yang redup.
Ma tersenyum kepada aku sambil mengangkat tangan dan mengangguk kepala. Renungan ma seolah berkata,
“Li. Jangan risau. Abah dah bersedia untuk hari ini sejak sekian lama. Ma yakin abah ditempatkan dikalangan orang-orang beriman dan beramal soleh”.
Masa tu baru airmata aku meluncur laju. Yang sebelum ini ditahan-tahan, semua air mata cuma ditelan. Namun melihat ke dalam mata ma saat pengkebumian abah, aku tewas.
Ma, Li dan adik-beradik lain akan jaga dan taat pada ma seperti selalu. Seperti abah selalu pesan, seperti abah masih ada. Ma jangan risau. Ini janji anak-anak ma.
Ma lebih tahu, kami anak-anak tidak pernah mungkir janji pada ma dan abah.
Sayang ma selama-lamanya. ❤️
Sayang abah hingga ke syurga. ❤️
Nota : Gambar masa abah dan ma pergi majlis konvokesyen di UM sekitar 24 tahun nan lalu.
#MFS
.
0 Comments