Oleh: Cikgu Mohd Fadli Salleh
Satu minat abah dari zaman muda ialah projek waqafan. Terutamanya wafaq masjid dan pondok.
Masih aku ingat, masa aku Tingkatan 2 aku teman abah sampai ke Tumpat. Ingatkan pergi sana nak buat apa, rupanya abah dengar khabar ada masjid sedang dibuat kat sana.
Dari Tumpat, terus ke Bachok pula, pun pergi cari masjid yang sedang dibina. Abah infaq kat sana pula. Abah sentiasa mencari masjid-masjid dalam pembinaan.
Seronok sungguh abah kalau dapat tahu ada masjid dalam pembinaan.
Di Pondok Pasir Tumboh, banyak abah bina pondok untuk diwaqafkan. Pondok Berangan pun ada yang abah waqafkan.
Masjid atas tanah sendiri ada beberapa buah abah bina. Antaranya Masjid Mok Su Tijah, Masjid Hajjah Salamah, dan Masjid Darul Itam. Boleh dikatakan 90% pembinaan masjid-masjid ini guna duit abah, selebihnya kiriman sanak saudara terdekat
Dan yang terbaru Masjid Dana Kita. Abah waqafkan dua lot tanah dan pembinaan dimulakan dengan modal abah sendiri lebih 40k. Selebihnya sahaja dari infaq orang ramai.
Bahkan sekitar tahun 2010, abah bina satu rumah waqafan di Bukit Ajyad, Mekah. Rumah ini ambil masa yang lama untuk dibina sebab kekangan modal dan kos yang tinggi di sana.
Pernah sekali aku tulis tentang ini di Fb pada tahun 2015. Bila abah tahu, abah tegur. Jangan ceritalah, abah kata. Aku hantar kiriman barang dapur dari rumah ke rumah kat Bukit Ajyad.
Aku cakap, tujuan aku tulis agar orang boleh pergi dan rumah waqafan itu sentiasa ada pengunjung. Kata abah,
“Tak apa. Adalah tu orang pergi. Tak payah ceritalah. Tu bukan harta abah. Tu abah waqafkan dah”.
Aku akur. Lepas tu aku dah tak tulis. Dan ternyata rumah tu sangat barakah. Anak sepupu aku duduk di tingkat 2, tingkat pertama didiami oleh imam masjid bukit ajyad.
Dan rumah ini sentiasa menerima kunjungan orang. Aku pergi masa tahun 2015 dulu sempat jumpa ramai orang datang tumpang berteduh di sini.
Antaranya askar yang passport hilang. Berminggu duduk sini untuk selesaikan urusan passport. Orang yang pergi buat umrah sendiri tanpa syarikat travel pun ramai datang menetap dan singgah.
Orang-orang kampung yang pergi ke Mekah, ramai antara mereka akan naik ke Bukit Ajyad dan menetap sementara di sini. Di layan oleh Sheikh Aiman dengan penuh keraian.
Teringat masa nak siram air solat hajat kat setiap pasak tiang tempat Masjid Dana Kita bakal didirikan, aku cakap kat abah,
“Abah siram dululah. Tanah abah ni”.
Terus abah tegur,
“Jangan kata gitu. Ni bukan harta abah. Ni dah diwaqafkan. Ni milik Dana Kita dah ni. Li siram dulu. Selawat tu masa siram”.
Ah, banyak sungguh ilmu dan pelajaran aku dapat sepanjang hidup ini. Ilmu tentang keikhlasan, ilmu tentang menyediakan bekalan untuk hari esok.
Abah cukup bersedia untuk bertemu Tuhannya.
Semoga segala amal ibadah abah diterima Allah dan abah ditempatkan dikalangan orang-orang beriman dan beramal soleh. Amin.
#MFS
– Seputar memori bersama abah –
0 Comments